Segmen 1
1940 -1944
Perang Dunia II bermula di Semenanjung Tanah Melayu apakala tentera Jepun mendarat di Pantai Sabak, Kota Baru, Kelantan dan dengan mudah menakluki Tanah Melayu dan Singapura. Pesawat tentera Jepun menenggelamkan kapal perang British HMS Prince of Wales dan HMS Repulse di perairan Kuantan. British menyerah kalah dan rakyat hidup ketakutan serta sengsara dibawah pemerintahan Jepun. Kekurangan makanan menjadikan ubi kayu makanan ruji.Sebahagian rakyak melancarkan gerakan perang gerila menentang kependudukan Jepun dan kumpulan paling berpengaruh adalah Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA) atau lebih dikenali sebagai 'Bintang Tiga', majoriti anggotanya terdiri dari kaum Cina. Pemerintahan Jepun cuba memenangi hati orang Melayu dengan mengiktiraf kedudukan Rara-raja Melayu walaupun pada hakikatnya tanpa sebarang kuasa. Pengeboman Hiroshima dan Nagasaki olih Amerika Syarikat menyebabkan Jepun menyerah kalah sekaligus menamatkan perang. Saki baki tentera Jepun yang lemah tiada dapat menghalang 'Bintang Tiga' mengambil alih kuasa dan menghukum mereka yang dianggap talibarut Jepun yang kebanyakannya orang Melayu. British menguasai semula Tanah Melayu dua minggu kemudian dan mengakhiri pembunuhan dendam 'Bintang Tiga'. Walauapapun pendudukan Jepun menyedarkan penduduk tempatan bahawa kuasa Timur mampu menewaskan kekuatan kolonial Barat.
Segment 2
1945 - 1949
British menghantar Harold MacMichael membawa gagasan Malayan Union dan berjaya memaksa persetujuan Raja-raja. Edward Gent dilantik Gabenor pertama namun nasionalis Melayu bangkit menentang. Onn Jaafar serta rakan-rakan nasionalis lain menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (United Malay National Organisation - UMNO). Golongan radikal Melayu pimpinan Ahmad Boestamam dan Ishak Hj Muhammad menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu dan Angkatan Pemuda Insaf - API. Desakan UMNO menyebabkan Malayan Union dibubar dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Komunis menentang pentadbiran Inggeris melalui keganasan sehingga darurat diisytiharkan pada 1948. Tan Cheng Lock menubuhkan Malayan Chinese Association (MCA) bagi menjaga kepentingan kaum Cina supaya tidak menyekutui komunis. British mencadangkan 'jus soli' (kerakyatan melalui kelahiran) kepada semua penduduk Tanah Melayu tetapi dibantah keras olih nasionalis Melayu antaranya Aminudin Baki, Mahathir Mohamad, Abdullah Ayub. RIDA (Lembaga Kemajuan Perusahaan Kampong) ditubuhkan untuk memajukan Melayu dan diharap dapat meredakan tentangan Melayu terhadap jus soli, dan Onn Jaafar dilantik pengerusi pertama. Namun jus soli tetap ditolak, dan atas pelbagai sebab, Onn keluar UMNO. Tengku Abdul Rahman (Tunku) dilantik Yang DiPertua UMNO ke-II selepas mengalahkan Ahmad Fuad pada pemilihan yang diadakan. Ahmad keluar parti dan menubuhkan Pan Malaysian Islamic Party (PMIP) kini PAS.
Segmen 3
1950 - 1954
Pesuruhjaya Tinggi British Henry Gurney terbunuh dalam serang hendap komunis di Bukit Fraser. Balai polis Bukit Kepong diserang dan ramai anggota polis serta keluarga terkorban. Gerald Templer yang dilantik menggantikan Gurney merangka strategi untuk mengekang komunis. Penempatan-penempatan baru dibentuk bagi peladang dan pekebun kecil Cina dipedalaman yang disyaki membekalkan makanan serta ubatan kepada komunis. Pasukan 'Home Guard' ditubuhkan, wanita serta warga tua diajar menggunakan senjata api dan diserapkan kedalam pasukan ini. Tentera Komanwel dibawa masuk membantu menentang komunis. Usaha Templer mula membuahkan hasil dan semakin banyak daerah diisytiharkan 'kawasan putih' atau bebas komunis. UMNO dan MCA membentuk perikatan dan memenangi pilihanraya pertama perbandaran bagi memilih anggota Majlis Perbandaran Kuala Lumpur. Semangat kemerdekaan rakyat makin membara namun ada golongan pembesar memperkecilkannya dan mengejek 'merdeka' sebagai 'mentega'. Sebahagian nasionalis mahu menggunakan kekerasan untuk merdeka, dan membentuk 'Barisan 33'. Kejayaan UMNO dan MCA dalam pilihanraya kecil perbandaran itu menarik Malaya Indian Congress (MIC) pimpinan V.T Sambanthan menyertai Perikatan.
Segmen 4
Segmen 5
1960 -1964
Boleh dikatakan dekad 60an adalah untuk mengisi kemerdekaan, tetapi dimulakan dengan kemangkatan Yang DiPertuan Agong pertama, digantikan olih Sultan Selangor, Sultan Hishamudin Alam Shah, namun tidak lama bertakhta Baginda juga mangkat, digantikan Raja Perlis, Tuanku Syed Putra, Yang DiPertuan Agong ke-III. Antara projek mengisi kemerdekaan; Hospital Bersalin, Stadium Negara, Bangunan Parlimen, Muzium Negara. Syed Nasir Ismail dilantik Pengarah DBP dan melancarkan kempen 'Gunakan Bahasa Kebangsaan', dan saya pernah menjuarai pertandingan melukis poster peringkat sekolah-sekolah. Universiti Malaya Kuala Lumpur yang ditubuhkan sebagai cawangan Universiti Malaya Singapura, telah berpindah terus keKuala Lumpur. Tentera negara dihantar menyertai pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ka Congo. Timah dan getah kekal menjadi sumber utama pendapatan negara. Siaran televisyen hitam-putih dilancarkan. Cadangan Tunku untuk mewujudkan persekutuan Malaysia mendapat bantahan keras, namun Laporan Lord Cobbold mengenai pungutan suara di Borneo Utara (Sabah), Sarawak, Brunei dan Singapura membuktikan kesediaan mereka menyertai gagasan Malaysia. Brunei menarik diri di saat akhir, tetapi Singapura kekal. Indonesia menentang keras pembentukan Malaysia dan Presiden Soekarno melancarkan konfrontasi bersenjata yang segera dipatahkan. Filipina turut membantah namun Presiden Macapagal mencadangkan penubuhan persekutuan negara-negara Melayu iaitu MAPHILINDO (MA-Malaya, PHI-Philippines, INDO-Indonesia. Bayangkan betapa kuatnya kita hari ini jika saranan Macapagal diikuti). Piliharaya pertama Malaysia dimenangi Perikatan manakala People's Action Party (PAP) diketuai Lee Kuan Yew menguasai Singapura.
Segmen 6
1965 -1969
Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sultan Terengganu ditabal sebagai YDP Agong ke-IV. PAP melaungkan slogan 'Malaysian Malaysia' dengan lantang dan membangkitkan kemarahan orang Melayu. Konflik berpanjangan Lee Kuan Yew dengan Tunku menyebabkan Singapura dikeluarkan dari Malaysia, dan dengan itu PAP dimansuhkan di Malaysia, tetapi muncul semula sebagai DAP (Democratic Action Party). Beberapa institusi baru ditubuhkan antaranya Masjid Negara, FAMA (Federal Agricultural and Marketing Authority), Bank Bumiputera, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Angkasapuri, Pernas, Bank Pertanian, Universiti Sains Malaysia, Perbadanan Perkakalan Antarabangsa Malaysia (MISC). General Soeharto mengambil alih tampuk pemerintahan Indonesia dan mengamalkan sikap berbaik dengan Malaysia. 'Sistem Salleh' diperkenalkan bagi membanteras jenayah dengan membina pondok dan bit polis dikawasan perumahan dan perniagaan. Atas cadangan Tunku, ASEAN (Association of South East Asia) ditubuhkan dengan dianggotai Filipina, Indonesia, Singapura, Thailand dan Malaysia. Sekolah menengah berasrama dibina dipedalaman. Badan-badan bahasa mendesak keras kelulusan Akta Bahasa Kebangsaan diParlimen. DAP semakin lantang memainkan sentimen anti-Melayu dan Raja-raja menyebabkan Perikatan menang tipis pilihanraya 1969. Pelampau Cina berarak merayakan kemenangan di Kuala Lumpur. Orang Melayu membalas dengan perarakan besar-besaran hingga tercetus trajedi berdarah 13 Mei. Darurat diisytihar, Parlimen digantung. Majlis Gerakan Negara (Mageran) dibentuk dibawah pentadbiran Timbalan Perdana Menteri, Abdul Razak Hussein.
Segmen 7
1970-1974
Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah (Sultan Kedah) telah ditabalkan sebagai Yang DiPertuan Agong ke-5. Abdul Razak Hussein menjadi Perdana Menteri ke-2 dan Dr. Ismail Abdul Rahman timbalannya. Majlis Perundingan Negara memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan, bersama Rukun Negara dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan sebagai landasan perpaduan nasional. Beberapa institusi baru siap dibina termasuk Bangunan Bank Negara , Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan GAPENA ditubuhkan. 'Bunga Raya', kapal dagang pertama negara dilancarkan. Urban Development Authority (UDA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ditubuhkan. Sementara itu Pusat Latihan Belia didirikan untuk melatih belia-belia Bumiputera dalam pelbagai kemahiran. Abdul Razak merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama melawat Blok Komunis-Rusia dan China - dan bertemu Mao Tze Tung untuk membincangkan kepentingan bersama. Malaysia Singapore Airline (MSA) berpecah kepada Malaysia Airline System (MAS) dan Singapore International Airlines (SIA). Kuala Lumpur diisytihar sebagai Bandaraya dan Tourism Development Corporation (TDC) diwujudkan. Untuk mengurangkan persaingan politik dan menumpukan kepada pembangunan, Abdul Razak menubuhkan Barisan Nasional (BN) dengan penyertaan beberapa parti pembangkang. Aktiviti pertanian digiatkan dan rakyat digalakkan bercucuk tanam. BN dengan mudah menewaskan DAP dan PRM dalam Pilihanraya 1974. Petronas ditubuhkan dan Kuala Lumpur diisytiharkan Wilayah Persekutuan.
Segmen 8
No comments:
Post a Comment